Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa.
Tema Hari Guru 2020
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memaklumkan bahawa tema Hari Guru sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-49 pada tahun 2020 ialah “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharuâ€.
Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
Definisi Tema Hari Guru 2020
Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Huraian Tema Hari Guru 2020
Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).
Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa.
Setiap Kejayaan Memerlukan Kehadiran Guru
Murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru. Guru juga insan yang banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang.
Berguru merupakan suatu proses pembelajaran berterusan yang tiada berpenghujung, selagi mana seseorang itu masih menikmati kehidupan di dunia ini.
Seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu tersebut dan juga berusaha meneroka bidang ilmu baharu.
Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara.
Murid Merupakan Pewaris Masa Hadapan Negara
Murid yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa hadapan negara. Oleh hal demikian, adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu.
Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan KPM yakin bahawa tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu†ini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari.
Tema Hari Guru 2000 – 2020
Saban tahun, guru-guru pastinya tertunggu-tunggu tema hari guru. Melalui tema ini, pastinya terdapat banyak mesej yang ingin disampaikan kepada guru dan juga masyarakat tentang senario pendidikan kini. Berikut merupakan himpunan tema sejak tahun 2000.
- 2020 : Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
- 2019 : Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi
- 2018 : Guru Pemacu Transformasi Pendidikan
- 2016 : Guru Pembina Negara Bangsa
- 2017 : Guru Pembina Negara Bangsa
- 2015 Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
- 2014 Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
- 2013 Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
- 2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
- 2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
- 2010 Guru Pembina Negara Bangsa
- 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
- 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
- 2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
- 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
- 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
- 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
- 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
- 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
- 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
- 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan