Tulis karangan tentang cara-cara menjaga keselamatan di rumah.
Menjaga keselamatan di rumah amatlah penting. Terdapat pelbagai cara saya menjaga keselamatan ketika berada di rumah.
Antaranya, saya tidak akan bermain dengan peralatan tajam ketika di rumah. Contohnya, ibu melarang saya bermain menggunakan pisau, gunting dan jarum. Ini kerana peralatan ini boleh mencederakan saya.
Selain itu, saya juga dilarang untuk bermain api di dalam rumah. Ibu tidak membenarkan saya menggunakan mancis. Saya faham larangan ibu itu kerana menggunakan mancis boleh menyebabkan rumah saya terbakar.
Selanjutnya, saya akan mencuci bilik air saya dan memastikan bilik air sentiasa kering. Bilik air yang berair akan menjadi licin. Saya boleh terjatuh dan cedera jika bilik air saya basah dan bersabun.
Selain itu, saya dan adik beradik yang lain mengelakkan diri daripada berlari-lari ketika berada di dalam rumah. Sekiranya kami bermain kejar-kejar di dalam rumah, kami boleh terjatuh lalu kepala terhantuk pada bucu meja. Saya tidak mahu mengalami kecederaan kerana kecuaian diri sendiri.
Kesimpulannya, saya mesti berhati-hati ketika berada di dalam rumah. Mematuhi dan mendengar nasihat ibu dan bapa akan memastikan saya selamat ketika berada di rumah.