264
DEWAN Rakyat yang meluluskan Pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) kelmarin, memperlihatkan kesungguhan kerajaan melindungi remaja perempuan berusia bawah 18 tahun daripada diperalat pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, kerajaan mahu memastikan remaja tidak terus dieksploitasi pihak berkenaan sehingga menjejaskan pendidikan, kesihatan serta keselamatan mereka. Apabila akta itu dikuatkuasakan, mereka tidak lagi dibenar bekerja di premis perniagaan seperti hotel, bar, restoran, rumah penginapan atau kelab malam, kecuali premis itu milik keluarga atau penjaga mereka. Kita yakin langkah menguatkuasakan akta berkenaan bertujuan memastikan remaja perempuan dalam lingkungan usia itu tidak terdedah atau terbabit dengan gejala tidak sihat. Kita tidak boleh menafikan remaja pada usia itu terlalu mentah untuk melakukan pekerjaan di tempat seumpama itu. Remaja seusia itu masih memerlukan pengawasan ibu bapa dan bimbingan dari aspek akhlak bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif.
Adalah tidak wajar remaja terdedah atau terbabit dengan perbuatan tidak bermoral seperti mengambil minuman keras serta pergaulan bebas yang cukup sinonim dengan persekitaran bar, hotel atau kelab malam. Kita yakin pindaan akta itu mampu melindungi remaja daripada kegiatan tidak bermoral atau mengancam keselamatan mereka. Bagaimanapun semua usaha ini tidak akan memberi kesan jika tiada kerjasama semua pihak, terutama majikan dan pemilik premis perniagaan. Dengan melarang remaja bekerja di premis sosial itu, kita berharap tiada lagi kes remaja perempuan dieksploitasi pihak tertentu untuk melakukan pekerjaan yang tidak bersesuaian. Akta ini juga dapat mengekang sindiket atau majikan yang mahu mengaut keuntungan besar dengan mengeksploitasi remaja bawah umur.
Justeru, hukuman baru terhadap mereka yang melanggar akta berkenaan iaitu penjara sehingga setahun dan denda RM5,000 yang kemudian digandakan bagi kesalahan kedua seperti ditetapkan melalui pindaan itu, diharapkan dapat memberi kesedaran kepada pihak yang cuba mengeksploitasi golongan berkenaan.
Di sebalik penguatkusaan akta itu, wujud kelonggaran bagi membolehkan remaja perempuan bawah 18 tahun bekerja di premis perniagaan terbabit dengan syarat ia dimiliki keluarga sendiri atau mereka perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Bagaimanapun kita masih khuatir kerana kelonggaran ini boleh disalahgunakan, termasuk remaja itu sendiri. Jika ini berlaku, pindaan akta tidak memberi sebarang makna.
Lagipun kita tidak nampak sebarang jaminan atau perlindungan meskipun mereka bekerja di bar atau kelab yang dimiliki keluarga. Risiko terhadap keselamatan dan terdedah kepada pengaruh negatif tetap ada. Kerajaan juga sepatutnya turut menjelaskan mengenai had umur remaja lelaki yang tidak dijelaskan dalam pindaan akta berkenaan. Perkara itu perlu dikaji supaya remaja lelaki juga mendapat perlindungan sama dari segi undang-undang. Sama ada gadis atau remaja lelaki, mereka tetap terdedah kepada pelbagai eksploitasi majikan yang mahu memperalatkan mereka untuk meraih keuntungan. Lebih wajar jika mana-mana perlindungan dan larangan membabitkan remaja bawah 18 tahun diselaraskan di bawah satu akta bagi mengelak kekeliruan.