Sementera masih ingat dan ada ruang untuk sedikit coretan, saya kongsikan Prosedur Bawa Murid Keluar Guna Kenderaan Sendiri. Pulang daripada taklimat tadi, saya singgah di Sektor Pengurusan Sekolah. Uruskan permit perjalanan untuk Perkhemahan Pasukan Badan Beruniform pada bulan Mac nanti.
Ini kali pertama saya uruskan permit perjalanan, banyak belajar. Berurusan dengan Puan Aminah, banyak sangat membantu dan tak lokek berkongsi info. Jadi saya panjangkan salah satu hal yang penting untuk kita, guru.
Urusan Pengangkutan Murid
Urusan pengangkutan murid adalah antara isu yang sering diketengahkan. Sekiranya lokasi aktiviti luar, berhampiran tempat tinggal, saya perlu bantuan ibu bapa untuk hantar terus ke lokasi aktiviti.
Sekiranya aktiviti dijalankan itu melewati sempadan beberapa daerah atau negeri, kitalah yang perlu bantu uruskan. Utama, dahulukan kenderaan yang disediakan KPM. Jika tidak disediakan, perlulah teliti dan pertimbangkan pengangkutan awam yang berdaftar.
Jika tiada pilihan, dan guru masih mahu memberi peluang kepada penyertaan luar murid, bolehlah menggunakan kenderaan sediri. Namun perlu faham tentang risiko dan standard yang ditetapkan.
Surat Pekeliling SPI KPM Bil.3/2019
Memandangkan berlakunya beberapa kes yang melibatkan kemalangan dan lebih benyedihkan apabila terjadinya kemalangan maut, Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Surat Pekeliling SPI KPM Bil.3/2019.
Garis panduan ini bertujuan memperjelas dan memperincikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penggunaan Kenderaan Sendiri oleh Guru untuk Membawa Murid bagi Urusan Rasmi KPM.
SOP Bawa Murid Guna Kenderaan Sendiri
Kegagalan mematuhi SOP bawa keluar murid menggunakan kereta sendiri akan memberikan impak yang besar kepada perkhidmatan guru, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
- Kenderaan yang akan digunakan secara amnya berada dalam keadaan baik dan diperaku;
- Lesen memandu guru masih sah tempoh
- Cukai jalan, polisi insurans kenderaan sendiri guru masih sah tempoh
- Bilangan penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan sendiri guru yang dibenarkan
Surat Kebenaran Bawa Murid Guna Kenderaan Sendiri
Guru yang menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa murid dikehendaki mengisi Borang Kebenaran Penggunaan Kenderaan Sendiri. Kebenaran ini diberikan untuk membawa murid bagi urusan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia.
Borang ini mengesahkan keadaan dan butiran kenderaan dan juga guru sebagai pemandu. Guru juga perlu pengesahan daripada pengetua atau guru besar pada borang tersebut.
2 comments
Assalam cikgu. terima kasih info yg berguna, SOP guru bawa murid dengan kenderaan sendiri dah ok sangat. Tapi, bermula jun 2020 kerusi keselamatan kanak-kanak diwajibkan. Murid-murid sekolah rendah khasnya yang tinggi kurang 135cm wajib pakai kerusi keselamatan. Ini akan menimbulkan masalah baru. Nampaknya lepas bulan jun nanti guru hanya akan bawa murid yang tingginya melebihi 135cm sahaja. Murid di bawah 135cm perlu dihantar oleh ibu bapa masing-masing.
Benar cikgu.. Terima kasih atas percambahan informasi.. 😀